Sunday, April 13, 2008

Tiada sempadan

KUALA LUMPUR: Bantuan kepada pihak yang berada dalam kesusahan atau teraniaya tidak seharusnya terbatas kepada masyarakat di negara ini sahaja kerana sebagai umat Islam, kita tidak boleh membiarkan golongan teraniaya, tanpa menolong mereka.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, berkata manusia tidak boleh hidup secara terpencil, sebaliknya perlu membantu sesama mereka, termasuk masyarakat di luar negara.

“Orang ramai perlu menunjukkan keprihatinan mereka kepada sesiapa saja yang teraniaya dengan menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing berdasarkan konsep kejiranan.

“Ini tidak bermakna kita mengabaikan rakyat tempatan kerana dalam kes bencana alam atau kes wanita murtad, misalnya, wujud keprihatinan terhadap kes terbabit di kalangan orang Islam di negara ini, sehingga banyak pihak tampil membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sikap segelintir masyarakat tempatan yang menyifatkan usaha membantu wanita genius matematik, Sufiah Yusof, 23, yang menjadi pelacur di Salford, Manchester, sebagai satu pembaziran.

Katanya, hubungan baik sesama masyarakat antarabangsa memberikan banyak kelebihan dan boleh menyelesaikan banyak masalah serantau.

Sehubungan itu, Malaysia menjalin hubungan kerjasama dengan negara lain melalui Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Komanwel dan Asean.

Mohd Nakhaie berkata, usaha Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Persatuan Melayu United Kingdom (UK) menyelamatkan Sufiah sepatutnya dipuji kerana mereka menunjukkan contoh keprihatinan yang baik kepada masyarakat.

“Walaupun JPM menghentikan usaha membantu Sufiah selepas pengakuan wanita itu di akhbar, sekurang-kurangnya JPM sebelum ini mengambil berat mengenai kes itu dengan menubuhkan jawatankuasa khas,” katanya.

No comments: