Sunday, April 13, 2008

'Jangan tanya, saya tak tahu apa-apa'


KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Tinggi Britain di sini, Boyd McCleary, berkata beliau tidak mengetahui langsung mengenai kes wanita pintar matematik, Sufiah Yusof yang kini terpaksa melacurkan diri di United Kingdom.

“Secara jujur saya tidak mengetahui apa-apa mengenai kes itu (Sufiah). Jadi, saya tak boleh membuat sebarang komen mengenainya.

“Tidak ada sebab untuk anda bertanyakan kepada saya (mengenai Sufiah) kerana saya memang tak tahu-menahu,” katanya ketika beberapa kali diminta mengulas mengenai sama ada kerajaan Britain mengambil sebarang usaha membantu wanita berkenaan.

McCleary berkata demikian selepas melawat Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) di Kem Sungai Besi, di sini, semalam bagi meninjau persiapan 122 anggota yang terbabit dalam ‘Tugasan Awam’ di London selama dua bulan mulai 14 April hingga 15 Jun ini.

Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin.

Kenyataan wakil kerajaan Britain itu agak menghairankan berikutan berita mengenai Sufiah sebelum ini dilaporkan secara meluas oleh kebanyakan media utama di negara berkenaan serta di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Pakistan, Brunei serta beberapa negara lain.

Bahkan isu berkenaan turut mendapat perhatian kerajaan negara ini sehingga Jabatan Perdana Menteri minggu lalu menubuhkan jawatankuasa khas yang diketuai Timbalan Menterinya, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim bagi membantu wanita malang berkenaan.

Bagaimanapun Dr Mashitah sebelum ini berkata, usaha menjejaki Sufiah berdepan kesukaran apabila kerajaan Britain tidak membenarkan pihak luar termasuk bantuan dari Malaysia untuk mencampuri urusan warga negaranya tanpa kebenaran individu terbabit.

Sufiah warga negara Britain manakala ibunya, Halimaton Yusof dari Muar, Johor.

Setakat ini, hanya Halimaton memberi kebenaran kepada Presiden Persatuan Melayu United Kingdom (UK), Hamidi Abdul Rahman untuk membantu keluarganya.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga sudah mengarahkan Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di London menyiasat sebab sebenar yang mendorong Sufiah menjual tubuh kerana hasil siasatan itu akan digunakan bagi mencari jalan menyelamatkan wanita berkenaan.

Harian Metro pada 31 Mac lalu melaporkan pendedahan tabloid News of the World mengenai kehidupan terkini Sufiah, 23, yang terpaksa menjadi pelacur di Salford, Manchester, untuk menyara kehidupannya.

__________________________________________________________________

Doa ibu lembutkan hati

KUALA LUMPUR: Doa seorang ibu cara paling berkesan untuk melembutkan hati wanita bijak matematik, Sufiah Yusof, 23, supaya kembali ke pangkal jalan kerana Allah sentiasa memakbulkan segala permintaan hamba-Nya.

Pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Fariza Md Sham, berkata keluarga Sufiah perlu memainkan peranan lebih besar termasuk memujuk dia terutama ibu kandungnya sendiri, Halimaton Yusof.

“Apa yang penting doa seorang ibu kepada anaknya. Insya-Allah berkat doa seseorang ibu akan melembutkan hati.

“Selain berdoa, perbanyakkan membaca al-Quran dan al-Fatihah supaya hatinya tenang dan kembali ke pangkal jalan,” katanya ketika dihubungi di sini, malam tadi.


Beliau mengulas laporan mengejutkan mengenai kisah kehidupan Sufiah seperti didedahkan tabloid News of the World di Britain pada 31 Mac lalu, apabila wanita yang dianugerah kepintaran semula jadi itu mula menawarkan perkhidmatan seks melalui laman web di flet kos rendahnya di Salford, Manchester.

Sufiah menawarkan khidmat seks melalui Internet dengan bayaran 130 paun (RM845) bagi satu sesi bagi menampung kehidupannya.

Dr Fariza berkata, melihat dari sudut Islam, beliau yakin Sufiah kurang faham ajaran dan menghayati konsep Islam sebenarnya sehingga sanggup menjual tubuhnya semata-mata untuk hidup mewah.

“Antara faktor dia jadi begitu, berkemungkinan kerana masalah psikologi ketika zaman remajanya. Hidupnya tidak seimbang dari segi rohani, mental dan emosi.

“Ketika dia diterima belajar di Universiti Oxford pada usia 13 tahun, mental Sufiah terlalu ‘advanced’ menyebabkan hormonnya tidak seimbang. Dia juga tidak dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain kerana dikongkong keluarga sendiri.

“Apabila dia sudah ‘terlepas’ daripada cengkaman keluarga, jiwanya bebas dan cuba mencari keseronokan di luar sana,” katanya.

Dr Fariza berkata, umat Islam di negara ini sebagai saudara seagama tidak boleh membiarkan wanita itu terus hanyut lebih jauh lagi sebaliknya berusaha memulihkannya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dipetik berkata, usaha menjejaki Sufiah berdepan kesukaran apabila kerajaan Britain tidak membenarkan pihak luar termasuk bantuan dari Malaysia untuk mencampuri urusan warga negaranya.

“Kerajaan Britain memandang serius kerahsiaan maklumat warga negaranya dan tidak akan sewenang-wenang mendedahkannya tanpa persetujuan individu terbabit.

“Berita itu baru diterima Jumaat lalu, apabila usaha menghubungi pihak berkuasa di sana tidak berhasil. Mereka menasihatkan kita menghubungi persatuan penduduk Melayu Muslim di sini bagi bantuan,” katanya.

________________________________________________________________________

Adik Sufiah persalahkan bapa

LONDON: Sikap tegas Farooq Yusof dan keengganannya meminta maaf terhadap tekanan yang diberikan kepada anaknya, Sufiah dianggap punca renggangnya dua beranak itu.

Adik Sufiah, Iskander Yusof, 21, membuat kenyataan itu ketika ditemubual stesen Radio 4 BBC.

Bagaimanapun dia berkata, keluarganya, terutama ibu, Halimahton Yusof lega kerana sekurang-kurangnya mereka kini tahu di mana Sufiah.

“Pastinya ibu terkejut apabila mendengar berita seperti itu, tapi kerana terlalu lama tidak mendengar sebarang berita mengenai Sufiah, dia sekurang-kurangnya lega kerana Sufiah masih hidup. Cuma dia sedih dengan perubahan yang berlaku terhadapnya,” katanya.

Iskander yang layak belajar di Universiti Warwick pada usia 15 tahun turut berkata, keluarganya kini berharap Sufiah menghubungi mereka.

“Sufiah perlu memikirkan apa yang terbaik untuk dirinya. Kadangkala anda tidak perlukan sesiapa untuk menyelesaikan masalah, hanya perlu menyelami diri dan bertanya ke mana anda akan tujui,” katanya lagi.

Adik bongsu Sufiah, Zuleika Yusof, 14, yang lulus tiga kertas peperiksaan A Level dan merancang melanjutkan pelajaran di universiti di Amerika Syarikat mengakui merindui kakaknya itu dan berharap mereka akan bersatu kembali.

Pada masa sama, Zuleika sedikit sebanyak memahami masalah kakaknya.

“Kejayaan akademik memberi kita keyakinan yang tinggi, tapi ia juga mengundang masalah. Pada usia semuda saya, pastinya saya ingin bersama remaja lain, tapi pencapaian cemerlang dalam pelajaran menyebabkan kita sukar berbuat demikian,” katanya.

Halimahton, 51, turut enggan mengecam Sufiah yang kini memperdagangkan tubuhnya dengan bayaran RM828 sejam.

“Saya tak tahu apa yang difikirkannya atau sama ada dia melakukannya untuk membalas dendam terhadap bapanya. Namun, saya harap pada satu hari nanti, dia akan kembali ke pangkuan kami,” katanya.

1 comment:

nikmatnya... said...

SAYA PASTI AYAH KAMU TELAH DIANIYA KERAJAAN BRITAIN SAMPAI TERPAKSA NGAKU & MASUK PENJARA YANG AKHIRNYA SUFIAH PULAK BERONTAK JADI…

YANG SIMPATI,

+60128624623

http://826.pollhost.com

lmn WAP dgn GPRS hp d
http://wapamama.net/selamatkansufiah