Sunday, April 13, 2008

Minda: Sufiah mangsa agenda Barat?


source : Oleh Mohamad Sofee Razak

KETIKA umat Islam di seluruh dunia digemparkan dengan filem pendek Fitna di Belanda yang cuba memburuk-burukkan imej dan wajah sebenar Islam, dalam tempoh sama pula kita dikejutkan dengan perlakuan tidak bermoral seorang wanita genius Islam yang meletakkan Islam dan umatnya berada dalam dilema fitnah masyarakat dunia.


Sepuluh tahun lalu, Sufiah Yusuf pernah menggemparkan dunia apabila menjadi kanak-kanak Islam berjaya memasuki sebuah universiti ternama di Britain iaitu Oxford ketika berumur 13 tahun.

Hari ini dia sekali lagi menggegarkan masyarakat dunia apabila dengan bangga menawarkan khidmat seks kepada orang ramai, terutama melalui laman web.

Walaupun perbuatan tidak berakhlak itu bukan sesuatu yang luar biasa di United Kingdom (UK), namun dengan statusnya sebagai seorang genius Islam, laporan perlakuan sumbangnya kini dibincang dan diperdebatkan di seluruh dunia.

Apatah lagi dia mempunyai pertalian rapat dengan Malaysia kerana ibunya berasal dari negara ini.

Keadaan itu membuka peluang media Barat di seluruh dunia mengambil kesempatan semaksimum mungkin mengenai isu serta polemik sensasi itu untuk mencemarkan Islam dan umatnya.

Perubahan sikap dan sifat Sufiah yang sangat mengejutkan itu menjadikan ramai tersentak membaca kisah hidupnya menjadi pelacur dan hidup dalam keadaan sangat menyayat hati di lembah kehinaan.

Ramai bingung dan bimbang dengan perkembangan yang sedang terjadi kepada wanita yang mempunyai IQ pintar yang menakjubkan itu.

Dia mungkin menjadi mangsa ibu bapa yang terlalu menekan dan mengejar kecemerlangan anak dalam akademik tanpa memikirkan aspek kerohanian dan didikan agama.

Kemungkinan juga menjadi mangsa keadaan apabila terpaksa menjadi manusia cemerlang dan berjaya di universiti seawal usia 13 tahun berbanding rakan yang masih bergembira di sekolah menengah.

Sejak kecil Sufiah tidak pernah memasuki sekolah, sebaliknya hanya menerima pendidikan di rumah daripada ibu bapanya hingga menjejakkan kaki ke menara gading.

Jadi untuk menyalahkan sistem dan keberkesanan pendidikan di UK adalah meleset. Dan atas alasan apakah Sufiah bertindak sedemikian, sangat menimbulkan tanda tanya.

Jika hendak dikatakan masih mentah dan tidak matang, dia pernah berkahwin dan sempat menikmati kehidupan berkeluarga selama hampir setahun sebelum bercerai.

Pada usianya kini, kita tidak boleh menyalahkan sesiapa melainkan dirinya sendiri.

Sepatutnya dengan kecerdasan akal yang hebat, Sufiah sepatutnya kaya, popular dan ternama serta dapat menyumbangkan kepakarannya kepada umat Islam supaya masyarakat bukan Islam melihat kehebatan agama ini.

Sebaliknya, kini tubuhnya dilanggani menyebabkan beban serta masalah tersebut terpaksa ditanggung umat Islam.

Inilah jadinya apabila kecerdikan yang dimiliki tidak dihargai dan disalahgunakan.

Inilah juga jadinya apabila nafsu sudah bertakhta di hati dan terlalu menurut perasaan yang buruk.

Dulu guru mengimpikan pelajar mereka setanding Sufiah dan ibu bapa juga sanggup bekerja keras untuk memberikan pendidikan sempurna agar anak dapat menjejaki wanita genius itu.

Dia umpama model dan ikon remaja pintar suatu ketika dahulu.

Sufiah pencetus fenomena sehingga kerajaan Malaysia turut menawarkan cadangan untuk menaja kos pembelajaran beliau hingga ke peringkat paling tinggi.

Kini mungkin ramai akan berfikir dua kali dan terpaksa mempertimbangkan sama ada berbaloi memiliki anak genius.

Biarpun begitu, adalah tidak adil ketika Sufiah berada di puncak kejayaan dan kegemilangan, semua berbangga dan mendabik dada dengan kejayaan yang diciptanya.

Dia diangkat sebagai contoh Melayu terbaik di perantauan dan gadis Islam yang berjaya menaikkan imej agama di mata Barat.

Apabila dia kini tersesat, keliru dan berada di persimpangan hidup, kita mencerca dan menghukumnya tanpa meneliti masalah serta realiti yang dihadapinya.

Sufiah mungkin sedang dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab atau sedang berhadapan dengan konflik dan masalah jiwa yang serius hingga sanggup melacurkan diri.

Ataupun, ia mungkin permainan jahat dan kotor yang cuba dimainkan media Barat atau propaganda yang sengaja diada-adakan untuk mencemarkan Islam.

Dalam keadaan dunia Islam sentiasa difitnah dan diburuk-burukkan, tidak mustahil juga isu Sufiah adalah taktik dan agenda terancang musuh Islam untuk menjatuhkan agama suci ini.

Apapun, hanya Sufiah yang boleh memberitahu perkara sebenar dan apa yang terjadi kepada dirinya.

Hingga kini usaha mencari dan menyelamatkannya sedang dilakukan.

Modal insan cukup berpotensi seperti Sufiah tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana dia turut membawa imej Islam dan orang Melayu.

Semua pihak perlu bekerjasama menyelamatkannya untuk mengelakkan dia jauh tersasar, menyimpang dan boleh memusnahkan diri.

Tindakan Jabatan Perdana Menteri dan Yadim untuk menghantar misi khas menyelamatkan wanita genius itu sangat dialu-alukan sebagai tanda prihatin dan sensitiviti kita terhadap umat Islam lain biarpun masih ramai remaja dan gadis Islam tempatan yang perlu diselamatkan.

Kata-kata atau pandangan seperti membazirkan duit rakyat, menyibuk, pilih kasih dan sebagainya terhadap misi murni itu adalah amat dangkal serta tidak mencerminkan sifat umat Islam sebenar.

Sufiah masih boleh diselamatkan jika semua pihak berusaha memulih, mendoakan dan menasihatinya memandangkan jika gagal, dunia akan melihat betapa hodohnya umat Islam hari ini walaupun memiliki otak bergeliga.

Kisah Sufiah wajar menjadi iktibar kepada semua agar apa yang berlaku kepada diri dan keluarganya tidak berlaku kepada orang lain.

1 comment:

nikmatnya... said...

SAYA PASTI AYAH KAMU TELAH DIANIYA KERAJAAN BRITAIN SAMPAI TERPAKSA NGAKU & MASUK PENJARA YANG AKHIRNYA SUFIAH PULAK BERONTAK JADI…

YANG SIMPATI,

+60128624623

http://826.pollhost.com

lmn WAP dgn GPRS hp d
http://wapamama.net/selamatkansufiah