Monday, March 31, 2008

Keluarga Sufiah di Malaysia terkejut

MUAR 31 Mac – Keluarga Sufiah Yusof di Malaysia terkejut dan sedih membaca berita mengenai tragedi hidup gadis pintar matematik itu yang kini dilaporkan terpaksa menjadi pekerja seks di London.

Bagi mereka, berita yang disiarkan itu bukan sahaja menggemparkan ahli keluarga Sufiah, malah mengejutkan seluruh rakyat yang sebelum ini mengagumi kepintaran gadis itu yang layak memasuki University Oxford pada usia 13 tahun.

Seorang ahli keluarga rapatnya yang ditemui di sini hari ini berkata, semua ahli keluarga tidak mengetahui kesengsaraan yang ditanggung oleh Sufiah sehinggalah berita mengenainya tersiar dalam akhbar hari ini.

“Sememangnya kami terkejut dengan berita ini, malah kami tidak tahu perkembangan Sufiah sejak beliau berkahwin.

“Ibunya, Halimahton pula kali terakhir pulang ke Malaysia ialah pada 2005,” katanya yang enggan dikenali.

Dia tidak mahu gambar dan identitinya didedahkan bagi menghormati ahli keluarga Sufiah yang lain.

Penderitaan gadis pintar itu dibongkar oleh wartawan News of The World yang menyamar sebagai pelanggan di flat murah yang didiaminya di belakang lorong di Salford, Manchester.

Sufiah dikatakan terbabit dalam kegiatan tidak bermoral itu, untuk menyara hidupnya sejak beberapa tahun lalu.

Menurut akhbar itu, Sufiah dilaporkan mengiklankan ‘khidmatnya’ melalui Internet dengan tawaran 130 pound (RM830) untuk setiap sesi.

Kisah malang gadis itu hari ini dimuatkan dalam kebanyakan akhbar tempatan.

Menurut ahli keluarga Sufiah itu lagi, ibu gadis itu, Halimahton yang merupakan anak keempat daripada lapan beradik, masih menetap di London bersama empat orang anaknya yang lain.

Sufiah, menurutnya, ialah anak ketiga daripada perkongsian hidup Halimahton dan Yusof Farooq.

Bapanya kini dipenjara atas kesalahan melakukan serangan seksual ke atas dua gadis berusia 15 tahun yang mengikuti tuisyen matematik di rumahnya.

Datuk dan nenek Sufiah telah meninggal dunia masing-masing pada 1989 dan 2006.

“Kami sekeluarga masih terkejut dengan berita ini dan berharap dapat berkumpul sesama semua ahli untuk berbincang mengenai masalah ini seberapa segera.

“Jika Sufiah berada di negara ini sudah tentu masalah ini akan dapat diatasi tetapi masalahnya dia kini jauh di sana,” katanya.

Sementara itu, Pon @ Fatimah Ali, 74, ketika ditemui di rumahnya di Batu 2, Jalan Bakri di sini turut sedih dan terkejut membaca berita mengenai anak saudaranya itu.

Dia dan suami, Samat Salam, 72, yang juga sepupu Halimahton berdoa semoga Sufiah kembali ke pangkal jalan dan berharap dia dapat pulang ke pangkuan ibunya.

“Walaupun hanya pernah berjumpa beberapa kali dengan Sufiah ketika dia masih kecil, saya begitu sedih kerana kanak-kanak itu cerdik dan pintar, tidak sangka semuanya jadi begini,” katanya.

Menurut Pon, dia mengetahui kisah Sufiah itu selepas melihat siaran berita di televisyen tengah hari ini.

Sunday, March 30, 2008

Tragedi hidup Sufiah

LONDON 30 Mac – Sufiah Yusof, seorang kanak-kanak pintar matematik yang pernah menggemparkan dunia apabila layak memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun, tidak putus-putus ditimpa nasib malang.

Selepas bapanya, Yusof Farooq dipenjara atas kesalahan melakukan serangan seksual ke atas dua gadis berusia 15 tahun yang mengikuti tuisyen matematik di rumahnya, Sufiah pula kini dilaporkan menjadi pekerja seks.

Tragedi yang melanda kanak-kanak genius itu dibongkar oleh wartawan News of the World yang menyamar sebagai pelanggan, di flat murah yang didiaminya di belakang lorong di Salford, Manchester.

Sufiah dikatakan terbabit dalam kegiatan tidak bermoral itu, untuk menyara hidupnya sejak beberapa tahun lalu.

Entah di mana silapnya, gadis dengan senyuman menawan itu yang kehebatannya sepatutnya menjadikan dia wanita kaya, terpaksa memilih jalan itu untuk terus hidup.

Menurut akhbar itu, Sufiah dilaporkan mengiklankan ‘khidmatnya’ melalui Internet dengan tawaran 130 pound (RM830) untuk setiap sesi.

Dengan memakai nama samaran Shilpa Lee, dia antara lain menggambarkan dirinya sebagai ‘pelajar bijak dan seksi’ yang menyediakan perkhidmatan setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 8 malam.

Dalam iklannya, menurut tabloid tersebut, Sufiah juga menyatakan dia lebih gemarkan ‘lelaki tua yang budiman’. Seorang bekas rakannya menyifatkan tindak-tanduk gadis itu sebagai: ‘‘Sesuatu yang sungguh menyedihkan.’’

“Dengan otak luar biasa yang dimilikinya, dia tidak mempunyai masalah untuk mendapat wang, sebaliknya hidup dia musnah dan menjadi tidak terkawal,” kata bekas rakannya lagi.

Selepas tiga tahun belajar di Universiti Oxford, pada usia semuda 15 tahun, Sufiah mencetuskan kegemparan apabila menghilangkan diri.

Dalam e-mel kepada keluarganya, dia menyifatkan hidup dengan bapanya ‘umpama dalam neraka’.

Ibu Sufiah, Halimahton berasal dari Muar, Johor manakala bapanya, Yusof berasal dari Pakistan.

Sufiah hanya ditemui dua minggu kemudian di sebuah kafe Internet di Bournemouth dan bekerja sebagai pelayan hotel.

Dia enggan kembali ke pangkuan keluarga dan diletakkan di bawah jagaan sebuah badan sosial sebelum kembali ke Oxford untuk menyelesaikan pengajian matematik peringkat sarjana.

Dia berkahwin pada 2004 ketika berusia 19 tahun dengan peguam pelatih, Jonathan Marshall, 24, tetapi rumah tangganya hanya mampu bertahan selama setahun.