Sunday, April 13, 2008

Persatuan Melayu UK tidak patah semangat


KUALA LUMPUR: Kempen ‘Sayangi Sufiah’ yang dilancarkan Persatuan Melayu United Kingdom (UK) tetap diteruskan walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi membuat keputusan menghentikan usaha menyelamatkan wanita genius matematik itu, Sufiah Yusof, 23.

Presidennya, Hamidi Abdul Rahman, 50, berkata pihaknya akan memperhebatkan kempen terbabit kerana percaya Sufiah bukannya mahu jadi pelacur, sebaliknya ada masalah yang membelenggu dirinya hingga memaksa beliau berbuat demikian.

“Buat masa ini, kita sedang giat mengumpulkan dana bagi membawa pengamal perubatan Islam dari Malaysia, Ustaz Trimizi Zainal bersama dua pembantunya yang dijangka berangkat pada 19 April ini khusus untuk mengubati Sufiah dengan menggunakan kaedah perubatan Islam.

“Saya menyeru kepada semua umat Islam di seluruh dunia supaya tampil menghulurkan bantuan kewangan dalam usaha menjejaki Sufiah supaya kembali ke pangkal jalan,” katanya ketika dihubungi di London, malam tadi.

Beliau berkata, orang ramai yang sudi menghulurkan sumbangan boleh melayari laman web persatuan itu di www.melayu.org.uk.

“Sebagai seorang Islam, saya tidak boleh membiarkannya terjerumus dalam kancah hina ini...sebaliknya perlu memberi pertolongan kepada insan yang memerlukan bimbingan.

“Kita tidak tahu perasaan Sufiah ketika ini...segala persoalan akan terjawab apabila kita berjaya membawa dia pulang ke pangkuan keluarganya.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada orang ramai supaya jangan mempercayai seratus peratus gambar Sufiah yang terdapat dalam laporan News of the World kerana ia tidak mencerminkan sifat dirinya sebenar,” katanya yang tetap bersemangat untuk menjejaki Sufiah tidak berapa lama lagi.

Hamidi berkata, Sufiah dipercayai meninggalkan Manchester dan bersembunyi kerana tertekan dengan usaha pelbagai pihak untuk membawanya keluar daripada kehidupan itu.

Oleh itu, Persatuan Melayu UK kini menggunakan pendekatan berbeza iaitu membiarkan Sufiah mencari pihak yang boleh dipercayainya menerusi kempen `Sayangi Sufiah’ dengan memperkenalkan talian bebas tol atau e-mel.

“Saya yakin Sufiah bukan seorang yang jahat dan ketika ini dia tertekan dan memerlukan pertolongan. Kita perlu mengenal pasti Sufiah sebagai pesakit yang memerlukan rawatan segera.

“Malah, ibunya, Halimaton Yusof tidak pernah putus-putus berdoa kepada Allah supaya membuka pintunya untuk bertaubat,” katanya.

Menurutnya, semangat Halimaton sememangnya kuat dan tabah yang tetap mengambil berat keselamatan anak keduanya itu.

source : mymetro

1 comment:

nikmatnya... said...

SAYA PASTI AYAH KAMU TELAH DIANIYA KERAJAAN BRITAIN SAMPAI TERPAKSA NGAKU & MASUK PENJARA YANG AKHIRNYA SUFIAH PULAK BERONTAK JADI…

YANG SIMPATI,

+60128624623

http://826.pollhost.com

lmn WAP dgn GPRS hp d
http://wapamama.net/selamatkansufiah