Thursday, April 3, 2008

Hantar ustaz bantu pulih Sufiah

Oleh Mohamad Hussin dan Mohd Fauzi Abdullah
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Dalam usaha menyelamatkan Sufiah Yusof, 23, daripada lembah pelacuran, seorang pengamal perubatan Islam akan dibawa ke London oleh Persatuan Melayu United Kingdom (UK) untuk memulihkan kehidupan wanita genius matematik itu.

Presiden persatuan itu, Hamidi Abdul Rahman, berkata pengamal perubatan Islam itu, Ustaz Trimizi Zainal bersama dua pembantunya akan berangkat dari Malaysia pada 19 April ini khusus untuk mengubati Sufiah dengan menggunakan kaedah perubatan Islam.

“Insya-Allah, Trimizi akan berada di UK selama sebulan untuk merawat Sufiah,” katanya ketika dihubung di London, malam tadi.

Beliau berkata, Trimizi adalah seorang tahfiz dan aktif dalam bidang dakwah serta pernah melakukan khidmat dakwah dan sosial kepada masyarakat Melayu UK selama sebulan pada awal tahun lalu.

Katanya, berdasarkan perbincangan dengan Trimizi dan beberapa petunjuk, pihaknya percaya Sufiah di bawah pengaruh tertentu terutama ilmu hitam.

Menjelaskan lanjut perkara itu, Hamidi berkata, faktor kewangan bukan menjadi punca Sufiah terjerumus ke lembah pelacuran kerana dia seorang yang pintar.

“Kita yakin beliau tidak terdesak untuk menjadi pelacur kerana kepintarannya,” katanya.

Kisah kehidupan terkini Sufiah itu didedahkan akhbar News of the World keluaran 31 Mac lalu.

Wanita yang dianugerah kepintaran semula jadi itu menarik perhatian dunia kira-kira 10 tahun lalu dan sepatutnya kaya-raya ketika ini.

Tetapi minggu lalu, dia menanggalkan pakaiannya untuk wartawan akhbar berkenaan yang menyamar pelanggan di flet kos rendahnya di Salford, Manchester, selain menawarkan khidmat seks melalui Internet dengan bayaran 130 paun (RM845) bagi satu sesi.

Sufiah yang ibunya berasal dari Malaysia dan bapa dari Pakistan dilaporkan terpaksa menawarkan khidmat seks kerana kesempitan hidup.

Menurut Hamidi, berdasarkan maklumat diperolehnya, Sufiah dipercayai tidak berada di Manchester ketika ini berikutan laporan News of the World itu.

Beliau berkata, Persatuan Melayu UK turut menubuhkan pasukan khas bagi menjejak dan menyelamatkan Sufiah kerana bukan mudah menyelesaikan isu wanita malang itu kerana membabitkan dua negara.

“Kami juga menunggu rakan dari Malaysia dan mengumpul dana mencukupi untuk memulakan operasi itu dua minggu lagi,” katanya yang mengharapkan sumbangan kewangan orang ramai memandangkan kos yang diperlukan agak besar.

Katanya, usaha menjejaki Sufiah kerana Allah semata-mata, justeru pihaknya meminta orang ramai dapat memberikan sumbangan untuk menampung kos seperti tiket penerbangan, perjalanan, makanan dan penginapan selama sebulan.

“Kami di London turut melakukan solat hajat bagi memudahkan pasukan itu berjumpa Sufiah dan membawanya ke jalan benar,” katanya.

Sementara itu, Atase Pendidikan (Pentadbiran) Bahagian Pelajar Malaysia di UK, Mohd Zaki Zakaria, ketika dihubungi berkata setakat ini, belum ada perkembangan terbaru mengenai Sufiah.

“Kami tidak menerima apa-apa maklumat dan menunggu arahan daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang mengetuai Jawatankuasa Bertindak menjejaki Sufiah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

1 comment:

nikmatnya... said...

SAYA PASTI AYAH KAMU TELAH DIANIYA KERAJAAN BRITAIN SAMPAI TERPAKSA NGAKU & MASUK PENJARA YANG AKHIRNYA SUFIAH PULAK BERONTAK JADI…

YANG SIMPATI,

+60128624623

http://826.pollhost.com

lmn WAP dgn GPRS hp d
http://wapamama.net/selamatkansufiah