Friday, May 9, 2008

Usah asyik tuding jari

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Janganlah kita sentiasa meletakkan kesalahan kepada orang lain setiap kali menghadapi masalah, sedangkan ia adalah masalah kita,” kata Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau merujuk andaian sesetengah pihak kononnya bekas pelajar genius di London, Sufiah Yusof, 23, yang terjerumus dalam kancah pelacuran dan keluarganya adalah mangsa rancangan Barat memalukan umat Islam.

Dr Mohd Asri berkata, sikap suka menuding jari kepada orang lain setiap kali berhadapan masalah perlu dihentikan, sebaliknya berusaha membaiki diri.

“Mengapa setiap kali kita hadapi masalah, kita hendak salahkan orang lain? Ini masalah kita dan kita harus menyelesaikannya.

“Saya bimbang nanti isu seperti ini sebenarnya akan dijadikan publisiti murahan saja oleh pihak tertentu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, sudah tentu media mencari fokus yang boleh mendapat perhatian dan disebabkan Sufiah seorang yang ternama, tentu saja media akan memberi fokus kepadanya.

“Kita harus berhenti menyalahkan orang lain sebaliknya berusaha membaiki diri sendiri.

“Malulah kepada orang lain kerana sikap kita yang suka menuduh sesuatu masalah itu berpunca daripada pihak lain sedangkan ia sebenarnya daripada kita,” katanya.

Dr Mohd Asri berkata, beliau tidak berminat dengan andaian dan isu yang dibangkitkan dengan persatuan yang baru ‘dua tiga’ hari berada di United Kingdom (UK), sebaliknya lebih berminat mendengar apa yang boleh dikatakan persatuan Islam yang sudah lama bertapak di UK.

Metro Ahad semalam melaporkan seorang anggota Kumpulan Penyokong dan Pengasuh Profesional Islam (Pisang), Hanafi Abdul Malek, yang berada di London sejak 22 April lalu, membuat andaian apa yang berlaku ke atas Sufiah adalah agenda terancang pihak Barat untuk menjatuhkan maruah Islam.

Menurutnya, walaupun di UK ada ramai pelacur yang lebih cantik daripada Sufiah, gadis itu ditawarkan ribuan pound untuk ditemuramah kerana dia seorang Islam.

Dalam e-mel Hanafi yang juga Pengerusi Yayasan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim) untuk renungan masyarakat Melayu Islam di Malaysia, beliau berkata selepas ayah Sufiah, Farooq Yusof dituduh melakukan gangguan seks dan dijatuhi hukuman, tiga hari kemudian terpampang pula berita Sufiah menjadi pelacur.

“Kita perlu sedar, musuh Islam memang suka tengok orang Islam jadi pelacur dan pengganas,” kata Hanafi.

No comments: