Thursday, May 1, 2008

Saya fikir dulu

Oleh Mohamad Hussin - hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: “Saya akan fikirkan dulu tapi dengan syarat bapa saya tak terbabit.”

Demikian janji wanita genius matematik, Sufiah Yusof, 23, kepada Presiden Persatuan Melayu United Kingdom (Melayu UK) Hamidi Abdul Rahman dalam pertemuan mereka, baru-baru ini.

Hamidi, 50, berkata beliau dan beberapa ahli persatuan berjumpa sendiri dengan Sufiah dan kini dalam usaha memujuk dan membawa pulang wanita itu bagi mendapatkan ‘rawatan’ lanjut.

“Kami sudah mengetahui lokasi Sufiah berada, tetapi enggan mendedahkannya kerana bimbang ada pihak cuba melarikannya ke tempat lain.

“Alhamdulillah, kami sudah berjumpa sendiri dengan Sufiah dan dia perlu sedikit masa untuk berfikir dan menyiasat latar belakang Melayu UK, sama ada kami pertubuhan bebas atau ‘diupah’ keluarganya.

“Dia akan berubah fikiran jika mengetahui keluarga terutama bapanya meminta kami mencarinya. Kami sudah jelaskan Melayu UK pertubuhan bebas yang ingin membantunya kembali ke pangkal jalan,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Hamidi berkata, pihaknya yakin akan dapat memujuk wanita pintar itu untuk menerima rawatan daripada Professional Islamic Support and Nurture Group (Pisang) atau Kumpulan Penyokong dan Pengasuh Profesional Islam.

“Melayu UK bersama pakar kaedah rawatan Islam, Trimizi Zainal, sudah bergerak sejak seminggu lalu secara kumpulan dengan menggunakan pendekatan berbeza untuk mengumpul maklumat mengenai Sufiah.

“Sufiah tidak menolak kehadiran kami, sebaliknya dia belum menerima kenyataan sebenar. Tunggulah sedikit masa lagi, biarlah Sufiah berfikir dulu sebelum kami dapat merawatnya.

“Malah, dia tidak terkejut dengan kehadiran kami kerana sudah dimaklumkan lebih awal oleh wakil akhbar News of The World kami mencarinya,” katanya.

Kisah kehidupan Sufiah mengejutkan pelbagai pihak seperti didedahkan News of the World pada 31 Mac lalu, apabila wanita yang dianugerah kepintaran semula jadi itu menawarkan perkhidmatan seks melalui laman web di flet kos rendah di Salford, Manchester.

Sufiah menawarkan khidmat seks melalui Internet dengan bayaran 130 paun (RM845) bagi satu sesi untuk menampung kehidupannya.

Hamidi berkata, pihaknya terpaksa berhati-hati menjalankan misi itu kerana mengesyaki ada pihak tertentu cuba mengekori pergerakan ahli kumpulan itu.

“Ada orang di sekeliling sentiasa nak tahu saya pergi mana, buat apa dan sebagainya. Oleh itu, kami sentiasa berwaspada dengan orang tidak dikenali, takut ia cuba mendapatkan maklumat mengenai Sufiah,” katanya.

No comments: