Apatah lagi Sufiah telah memberi syarat kepada polis supaya tidak memberitahu ibu bapanya di mana dia berada dan polis telah bersetuju untuk menghormati kemahuannya.
Laporan akhbar Telegraph menyatakan bapa Sufiah, Yusof Farooq, telah bersetuju memberikan gadis itu masa untuk mententeramkan fikirannya.
Sufiah dipercayai bekerja di Hotel Bournemouth dan kini berada di bawah jagaan Perkhidmatan Sosial.
Walaupun Sufiah masih di bawah umur dan boleh dihantar balik menemui keluarganya, Yusof berkata, beliau telah bersetuju dengan polis untuk tidak terburu-buru me-nemui anaknya itu.
Penemuan Sufiah menamatkan mimpi ngeri Yusof dan keluarganya sejak dua minggu lalu.
Malah, Yusof berkata, beliau dan keluarganya tidak sabar menunggu untuk meme-luk Sufiah tetapi mereka sedar tentang keadaannya pada masa ini.
Yusof juga mengaku bahawa kehidupan keluarganya tidaklah sempurna, ada masa-nya mereka mengalami suka duka.
Setakat ini, kenyataan Yusof tidak men-cerminkan atau menjawab masalah sebenar yang dialami oleh Sufiah atau punca gadis itu menghilangkan diri.
Beberapa laporan akhbar di London yang memberi liputan meluas mengenai kehilangan Sufiah, menyebut tentang "masalah keluarga'' sebagai punca berdasarkan e-mel yang dihantarnya.
Tetapi pada masa ini belum ada sebarang pengesahan dibuat sama ada e-mel itu memang dibuat oleh gadis tersebut.
Sufiah, 15, ialah seorang genius dalam bidang matematik dan kehilangannya ber-laku ketika dia berada di tahun ketiga pengajiannya bagi ijazah sarjana di Kolej St. Hilda, Universiti Oxford.
Pelbagai tanda tanya dan teori timbul mengenai kehilangan gadis itu.
Laporan Daily Mail menyatakan Sufiah memberi amaran dalam e-mel itu bahawa dia tidak akan sekali-kali balik ke rumahnya.
Dalam e-mel yang dihantar kepada ibu bapanya, Sufiah berkata: "Saya telah cukup menderita dengan penderaan fizikal dan emosi selama 15 tahun.''
Kandungan mesej itu menceritakan tentang kehidupan Sufiah dengan keluarganya yang disifatkannya sebagai satu "neraka hidup''.
Di dalam e-mel itu Sufiah mendesak supaya bapanya memberitahu pihak berkuasa bahawa dia berada dalam keadaan sihat dan selamat.
Sufiah mengancam untuk menceritakan secara terbuka tentang kehidupannya yang tidak gembira di rumah jika bapanya tidak memenuhi permintaan itu.
Walaupun tidak ada bukti e-mel tersebut dihantar oleh Sufiah, ibu bapanya dan polis percaya beberapa rujukan terhadap perkara yang hanya diketahui oleh keluarga itu me-nunjukkan e-mel berkenaan ditulis olehnya.
Tetapi Yusof dan isterinya, Halimahton mendapati sukar bagi mereka untuk mempercayai atau menerima bahawa tulisan yang bernada dendam dan marah itu adalah tulisan anak perempuan mereka yang selama ini taat dan pintar.
Yusof mendakwa Sufiah kini dipengaruhi oleh 'pihak ketiga' tetapi dia tidak dapat mengenal pasti pihak yang didakwanya.
Yusof, 44, lulusan Universiti Oxford berkata, dakwaan Sufiah bahawa dia tidak dilayan dengan baik oleh keluarganya dan terkongkong dengan corak kehidupan akademik keluarganya adalah tidak benar.
Yusof, yang berasal dari Pakistan dan isterinya, Halimahton dari Malaysia berkata, me-reka tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan.
Sufiah menjadi terkenal sebagai seorang gadis pintar apabila dia diterima masuk ke Universiti Oxford ketika berumur 13 tahun.
Dalam beberapa siri wawancara, Yusof menafikan beliau memberi tekanan terhadap Sufiah, yang mempunyai empat adik- beradik lain, lelaki dan perempuan, yang juga cemerlang di bidang akademik.
Tetapi e-mel yang kononnya daripada Sufiah dan kini diteliti oleh pasukan polis Thames Valley memberikan gambaran yang berlainan.
"Saya melihat ayah begitu bebas bercakap kepada akhbar-akhbar nasional dengan menceritakan bagaimana 'anak perempuan ayah yang lemah dan tidak berdosa' melarikan diri dari sebuah 'rumah gembira' dengan beberapa anggota sosialis dan teman lelaki,'' kata e-mel itu.
"Pernahkah terlintas dalam fikiran ayah bahawa sebab saya meninggalkan rumah ialah kerana saya akhirnya telah cukup menderita dengan penderaan emosi dan fizikal (untuk menggambarkan diri ayah, satu 'neraka hidup')?
"Saya akhirnya telah cukup menderita kerana kemahuan bodoh ayah tentang tenis, komputer, perbankan, pelaburan dan sebagainya.
"Ayah telah merosakkan kehidupan adik lelaki saya kerana ayah mahu memaksanya membuat wang untuk ayah dengan memenangi perlawanan-perlawanan tenis. Saya bernasib baik. Oxford memberikan sedikit kebaikan kerana saya berjauhan dengan ayah pada sebahagian besar waktu.''
Sufiah juga memberi kata dua: "Bagaimanapun, ini adalah e-mel yang praktikal. Perkara pertama yang saya mahu ayah lakukan pada esok hari ialah menyatakan betapa saya kini selamat bersama saudara mara atau keluarga rakan-rakan di Scotland atau London.''
"Jika tidak saya akan memberitahu akhbar-akhbar mengenai cerita daripada pihak saya pada tengah hari esok. Saya benar-benar serius mengenainya.
"Mungkin orang ramai akan mempunyai pandangan yang berbeza tentang ayah sebagai bapa yang mengambil berat tentang anaknya... Saya bukan lagi bayi kecil Soo-Fi. Ayah telah menafikan semua hak terhadap kasih sayang menerusi sikap ayah yang menjijikkan dan pengecut.
"Cuba rosakkan saya dan saya akan berjumpa dengan ayah di neraka. Ingat, esok hari. Ayah telah diberi amaran.''
E-mel itu disusuli beberapa minit kemudian dengan satu lagi mesej yang juga dihantar dengan menggunakan sistem Internet yang tidak diketahui.
Ia memberikan nama kucing jiran keluarga itu dan membuat beberapa rujukan lain sebagai percubaan untuk menyatakan bahawa mesej pertama adalah benar-benar ditulis oleh Sufiah.
Di dalam mesej kedua itu Sufiah mengingatkan ibu bapanya: "Benar, perkara pertama yang saya mahu ayah lakukan pada esok hari ialah menyatakan bahawa saya selamat bersama seorang mak cik di Scotland. Jika tidak....''
Yusof sangat terdesak untuk mendengar khabar berita daripada anak perempuannya itu sejak kehilangannya dari kolej. Satu-satunya perhubungan yang dibuat oleh Sufiah ialah panggilan telefon kepada pengetua kolejnya untuk memberitahu bahawa dia selamat tetapi memerlukan "sedikit ruang.''
Yusof yang mengajar Sufiah di rumah sebelum gadis itu memasuki Oxford percaya bahawa anak perempuannya itu telah dipengaruhi oleh seseorang yang berada di luar keluarganya.
"Mempengaruhi fikirannya adalah per-kataan yang paling tepat,'' katanya.
"Saya merayu kepada sesiapa sahaja yang berada bersama Sufiah supaya meng-hubungi saya. Saya akan menemui mereka di mana sahaja dan pada bila-bila masa.''
Yusof dan isterinya menolak andaian bahawa Sufiah berada dalam keadaan tertekan berhubung peperiksaan akhir penggal. Pelajar itu lulus dengan cemerlang dalam semua ujiannya.
Yusof berkata, beliau percaya anak perempuannya 'diculik' dan 'dipengaruhi' oleh satu pihak yang berminat untuk mempelajari tentang kaedah pembelajaran yang diajar olehnya kepada Sufiah dan anak-anaknya.
"Kemungkinannya kuat bahawa kami mungkin tidak menemuinya semula. Sekali pun kami menemuinya kembali, dia bukan Sufiah yang sama. Jika dia ditemui dia perlu dipulihkan semula. Pada pendapat kami, cerita mengenai Sufiah telah berakhir,'' katanya.
"Kami tidak akan mendapatkannya semula. Tetapi kami tidak akan dikalahkan oleh agenda mereka dan kami akan melipatgandakan usaha mengalahkan mereka dengan menghasilkan lebih banyak Sufiah.''
Sementara itu, satu imej kabur yang dirakamkan oleh televisyen litar tertutup (CCTV) di Oxford pada hari Sufiah menghilangkan diri menunjukkan seorang gadis yang menepati ciri-ciri fizikalnya sedang berjalan dengan seorang lelaki yang mukanya terlindung oleh sebuah payung.
Polis kini sedang menyiasat dakwaan bahawa Sufiah melibatkan diri dengan Parti Pekerja Sosialis.
Seorang daripada empat pegawai polis Thames Valley yang menyiasat kes itu berkata, pihaknya tidak mempunyai sebab untuk menolak bahawa e-mel itu datang daripada Sufiah.
Dalam pada itu, mereka yang rapat dengan kes itu percaya bahawa Sufiah meninggalkan rumahnya kerana masalah keluarga.
"Sepanjang yang kami tahu, Sufiah meninggalkan rumah atas kemahuannya sendiri dan pada masa ini dia tidak mahu balik ke rumah,'' kata satu sumber.
Hanya Sufiah yang tahu mengapa dia menghilangkan diri secara tiba-tiba.
Jika benar masalah keluarga menjadi punca, ia tentu merupakan sesuatu yang sukar diterima oleh Yusof dan isterinya setelah mereka berpenat lelah membesarkan dan mendidik gadis itu.
Sufiah yang pengajiannya ditaja oleh konglomerat Sime Darby dari Malaysia, mungkin dicemburui oleh ramai pelajar lelaki dan perempuan kerana berjaya menjejakkan kaki di Oxford dalam usia yang masih muda.
Tetapi, pengorbanan yang terpaksa di-lakukan oleh Sufiah bagi memenuhi harapan tinggi kedua-dua ibu bapanya mungkin tidak diketahui oleh banyak pihak.
Ketika para pelajar perempuan yang sebaya dengannya bebas bergaul dengan pelajar lelaki, Sufiah hanya belajar di kolej yang semua pelajarnya adalah wanita.
Belajar dengan rakan-rakan yang jauh lebih tua daripadanya mungkin membawa beberapa kejutan terhadap Sufiah.
Jika Sufiah mengalami pergolakan jiwa yang terlalu sukar untuk ditanggungnya, dia mungkin memerlukan masa dan ruang yang selesa bagi memberikannya semula ketenangan dan kekuatan.
1 comment:
SAYA PASTI AYAH KAMU TELAH DIANIYA KERAJAAN BRITAIN SAMPAI TERPAKSA NGAKU & MASUK PENJARA YANG AKHIRNYA SUFIAH PULAK BERONTAK JADI…
YANG SIMPATI,
+60128624623
http://826.pollhost.com
lmn WAP dgn GPRS hp d
http://wapamama.net/selamatkansufiah
Post a Comment