Friday, May 9, 2008

Kami sudah lama di UK

KUALA LUMPUR: “Kami cabar Dr Mohd Asri supaya menyatakan nama persatuan Islam yang mengambil berat hal Sufiah Yusof,” kata Pengerusi Penyokong dan Pengasuh Profesional Islam (Pisang), Hamidi Abdul Rahman, menerusi e-mel dihantarnya kepada Harian Metro.

E-mel itu bagi membidas kenyataan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin Isnin lalu, yang menyatakan pandangannya mengenai andaian dibuat seorang anggota Pisang, Hanafi Abdul Malek, bahawa pelajar genius di London, Sufiah Yusof, 23, yang terjerumus ke kancah pelacuran adalah mangsa rancangan Barat untuk memalukan umat Islam.

Hamidi dalam kenyataannya berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan Dr Mohd Asri kerana membuat kenyataan melulu yang tidak sepatutnya dikeluarkan seorang mufti.

Beliau berkata, Dr Mohd Asri turut memperlekehkan kemampuan Pisang dengan menggunakan ungkapan ‘dua tiga’ hari berada di United Kingdom (UK).

“Kami ingin menegaskan Pisang bekerjasama dengan Melayu UK yang sudah lama bertapak di UK dan ia bukanlah badan yang ditubuhkan di Malaysia tetapi satu pertubuhan yang sekarang dalam proses pendaftaran di UK.

“Saya selaku Pengerusi Pisang sudah menetap 32 tahun di UK. Kami lebih mengetahui keadaan sebenar dan mampu bergerak secara profesional di UK berbanding pengalaman Dr Mohd Asri,” katanya.

No comments: