Bagi mereka, berita yang disiarkan itu bukan sahaja menggemparkan ahli keluarga Sufiah, malah mengejutkan seluruh rakyat yang sebelum ini mengagumi kepintaran gadis itu yang layak memasuki University Oxford pada usia 13 tahun.
Seorang ahli keluarga rapatnya yang ditemui di sini hari ini berkata, semua ahli keluarga tidak mengetahui kesengsaraan yang ditanggung oleh Sufiah sehinggalah berita mengenainya tersiar dalam akhbar hari ini.
“Sememangnya kami terkejut dengan berita ini, malah kami tidak tahu perkembangan Sufiah sejak beliau berkahwin.
“Ibunya, Halimahton pula kali terakhir pulang ke Malaysia ialah pada 2005,” katanya yang enggan dikenali.
Dia tidak mahu gambar dan identitinya didedahkan bagi menghormati ahli keluarga Sufiah yang lain.
Penderitaan gadis pintar itu dibongkar oleh wartawan News of The World yang menyamar sebagai pelanggan di flat murah yang didiaminya di belakang lorong di Salford, Manchester.
Sufiah dikatakan terbabit dalam kegiatan tidak bermoral itu, untuk menyara hidupnya sejak beberapa tahun lalu.
Menurut akhbar itu, Sufiah dilaporkan mengiklankan ‘khidmatnya’ melalui Internet dengan tawaran 130 pound (RM830) untuk setiap sesi.
Kisah malang gadis itu hari ini dimuatkan dalam kebanyakan akhbar tempatan.
Menurut ahli keluarga Sufiah itu lagi, ibu gadis itu, Halimahton yang merupakan anak keempat daripada lapan beradik, masih menetap di London bersama empat orang anaknya yang lain.
Sufiah, menurutnya, ialah anak ketiga daripada perkongsian hidup Halimahton dan Yusof Farooq.
Bapanya kini dipenjara atas kesalahan melakukan serangan seksual ke atas dua gadis berusia 15 tahun yang mengikuti tuisyen matematik di rumahnya.
Datuk dan nenek Sufiah telah meninggal dunia masing-masing pada 1989 dan 2006.
“Kami sekeluarga masih terkejut dengan berita ini dan berharap dapat berkumpul sesama semua ahli untuk berbincang mengenai masalah ini seberapa segera.
“Jika Sufiah berada di negara ini sudah tentu masalah ini akan dapat diatasi tetapi masalahnya dia kini jauh di sana,” katanya.
Sementara itu, Pon @ Fatimah Ali, 74, ketika ditemui di rumahnya di Batu 2, Jalan Bakri di sini turut sedih dan terkejut membaca berita mengenai anak saudaranya itu.
Dia dan suami, Samat Salam, 72, yang juga sepupu Halimahton berdoa semoga Sufiah kembali ke pangkal jalan dan berharap dia dapat pulang ke pangkuan ibunya.
“Walaupun hanya pernah berjumpa beberapa kali dengan Sufiah ketika dia masih kecil, saya begitu sedih kerana kanak-kanak itu cerdik dan pintar, tidak sangka semuanya jadi begini,” katanya.
Menurut Pon, dia mengetahui kisah Sufiah itu selepas melihat siaran berita di televisyen tengah hari ini.
1 comment:
SAYA PASTI AYAH KAMU TELAH DIANIYA KERAJAAN BRITAIN SAMPAI TERPAKSA NGAKU & MASUK PENJARA YANG AKHIRNYA SUFIAH PULAK BERONTAK JADI…
YANG SIMPATI,
+60128624623
http://826.pollhost.com
lmn WAP dgn GPRS hp d
http://wapamama.net/selamatkansufiah
Post a Comment